Sudah 26 tahun berkhidmat di sekolah mama
Tanpa sedari telah tiba detik persaraannya
Semasa perbincangan tentang majlis persaraannya
tiba-tiba pengetua bersuara mencadangkan mama
menyampaikan sebuah sajak buat Puan Noraini
atau panggilan manjanya Kak Ani.
Mama terkedu
Mengapa mama?
Mamakan dah senja?
ramai adik yang ayu dan berbakat
bicara hati mama
mungkin pengetua dapat baca hati mama
lalu dia memberi sebab
kononnya,dia meminati hasil tulisan mama
oh....malunya
hihihi....mungkin dia mahu menguji mama
Mama perlu positif
dalam diam dan debaran
mama cuba hasilkan sajak
yang boleh mama jiwai
dan inilah hasilnya
yang bakal mama sampaikan
pada 13.10.2010...
Kanda,
Jangan pernah menyesal
kerana pernah mengenal kami
Jangan pernah melupakan
bahwa kita pernah bersenda tawa
mengukir kisah menakjubkan
setelah lelah melepas kerja
Bagi kami, kanda adalah keindahan
bagi kami, kanda adalah kehebatan
kita selalu hanyut dalam tugas
hingga lupa tanpa sedari
Saat itu tiba kini
Doa restu kami iringi
mengiring langkah berlalu pergi
yang entah bila ketemu lagi
moga ikatan yang terjalin ini
tak terlerai dek panas mentari
tak beku dek dinginnya pagi
dan tak hanyut dek alunan ombak
Kanda,
bungkus kenangan yang kita kutip
Simpan kemas di sudut hati
ceritakan kembali nostalgia ini
Jika kita bertemu lagi
Moga kukuh ukwah nurani
Kanda,
teman yang pernah menjadi kakak
kakak yang pernah menjadi ibu
Pernah sirami jiwa kami
dengan kata-kata semangat
Pernah taburi hati kami
dengan pesanan manja
dan pernah mengisi hati kami
dengan ilmu berguna
Maka ,mekar diri kami
dengan bunga-bunga bahagia
Kanda,
Restu kami tak pernah alpa
Agar kesihatanmu tetap terjaga
Agar hidupmu tenteram terbela
Agar segala budi dan jasa
Dirahmati Yang Maha Esa
Sepanjang usia
Terima kasih kandaku…
sampai ketemu dengan cerita yang lebih indah
di kemudian hari……….
Selamat jalan kandaku
Kenang kami dalam doa kudusmu
No comments:
Post a Comment