Saturday, June 26, 2010

titipan kasih


Semoga berkat tercantumnya 2keluarga

Hidup akan sedamai taman firdausi
Dengan limpahan kasih sayang sejati
Seharum semerbak kasturi

Berbekal doa yang suci
Menghiasi hidup ini


Titipan Kasih:

In our family

We laugh-we share

We cry-we care together

Therefore I love & proud

our family


SEKALUNG BUDI DALAM INGATAN

Berisi air penuh sebuyung

Milik siapa hati tertanya

Jika tidak dipecahkab ruyung

Manakan dapat sagunya


Sekapur sirih suri hulurkan

Seulas pinang hidangan petani

Kehadiran kalian kami raikan

Jadi penyeri majlis ini


Dilurut-lurut buah selasih

Batang selasih dikerat-kerat

Melaut budi segunung kasih

Menyeri majlis membawa berkat


Kemboja rendang di tepian hutan

Dipetik mari inang dan dayang

Restu kalian jadi ingatan

Sebagai tanda kasih dan sayang


Pohon teratai pohon pegaga

Akar di air daunnya timbul

Terima kasih tidak terhingga

Doa semua moga dimakbul


Kemilau cahaya hiasan intan,

Ditempa indah ukiran tembaga,

Teguh bersulam dalam ingatan,

Sokongan kalian tidak terhingga.


Kuntum melati dibelai-belai,

dibelai mari di tapak tangan,

Bantuan diberi tidak ternilai,

Budi kalian jadi sanjungan.


Tegak merimbun pohon selasih,

Dedaun menguning tepi halaman,

Budi luhur junjungan kasih,

Jadi kenangan sepanjang zaman


Berkilau mutiara hadiah kekasih,

Buat hiasan dandanan puteri,

Kalungan budi lautan kasih,

Di sudut hati mekar lestari




DOA BUAT ANAKANDA TERCINTA

Ya Allah…
Indahkanlah rumah tangga mereka dengan kalimat-kalimat-Mu yang suci.

Suburkanlah mereka dengan

keturunan yang membesarkan asma-Mu.

Penuhi mereka dengan amal soleh

yang Engkau redai.

Ya Allah…
Damaikanlah pertengkaran di antara mereka, lembutkanlah hati mereka,

pertautkan hati mereka, dan tunjukkan kepada mereka jalan yang lurus.

Selamatkan mereka dari kegelapan kepada cahaya.

Jauhkan mereka dari kemungkaran yang nampak dan tersembunyi.

Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.Amin.

Thursday, June 24, 2010

jalinan memori




Bismillahhirahmanirahim

Assalamualaikum warahmatullahhibarakatuh

Kepada datuk-datuk,datin-datin,tuan-tuan dan puan-puan sekalian.


Buah ranum di hujung julai

Jadi hiasan di pinggir taman

Sembah salam kami mulai

Sanjungan adat zaman berzaman


Sirih berlipat sirih ditatang,

Sirih milik teruna dara,

Pemanis kata selamat datang,

Sembah salam membuka bicara.


Bunga rampai dara membawa

Air mawar direnjis wangi

Undangan kami setulus jiwa

Terima kasih sudi merai



Alhamulillah,syukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita sama-sama meraikan majlis menyambut menantu Encik WDWI dan Puan YAY.Selamat datang kami ucapkan.


Hantaran indah peragaan tetamu

Sirih pinang tambah berseri

Majlis bersejarah kita bertemu

Kunjungan semua kami hargai

Sirih disusun pinang dibelah

Kapur dan gambir begitu seni

Merisik sudah,bernikah sudah

Menyambut menantu tibalah kini


Sungguh manis cempedak nangka

Manis juga jambu batu

Emak beruntung bapa suka

Kahwin anak sambut menantu



Pengantin berjalan di luar dewan:


Mengumunkan ketibaan pengantin dan rombongan.(Muzik kompang)



Pengantin tiba di tangga dewan:


Persembahan silat(muzik silat)



Terima kasih kepada Pasukan Seni Silat Gayung Fatani SMK Taman Keramat yang telah mempersembahkan silat pengantin.


Panas kering siapakan tahu
Hujan rintik di Pulau Pandan

Berjalan seiring bersentuh bahu

Samalah cantik samalah padan


Anak nelayan memasang lukah
Lukah dipasang di Tanjung Selasih

Pasangan pengantin segak melangkah
Ingin membina mahligai kasih


Rambutan pulasan lebat di dusun

Mari memetik bersama-sama

Sopan santun langkah disusun

Mengatur gerak ke pentas utama


Selawat diperdengarkan mengiringi pengantin ke pentas.



NAZAM

Jutaan terima kasih kepada Pn.Haniza Mohd Arif yang menyampaikan Nazam yang amat bermakna tadi.Terima Kasih Cikgu.

Awal Bismillah menepek inai

Inai ditepek di tapak tangan

Mari berdoa beramai-ramai

Supaya pengantin di dalam aman





Majlis mempersilakan Al-Fadhil Ustaz Nordin untuk memimpin bacaan doa.Dipersilakan.

Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada Al-Fadhil Ustaz.

Jambu air rendangnya pohon

Buah ranum di hujung julai

Restu diberi doa dipohon

Moga Allah restui merpelai

Kalau tuan pikat cemara,

Buatlah bara bakar selasih,

Sudilah hadirin menjamu selera,
Hidangan tersedia pengikat kasih,

Saya mewakili tuan rumah menjemput semua hadiri menjamu selera.Dipersilakan.Sambil hadirin dan kedua-dua mempelai menjamu selera,hadirin dan mempelai akan disajikan dengan tarian zapin oleh anak2 didik SMK Taman Keramat .



Terima kasih daun keladi

Persembahan semua menghibur hati




Menyulam bantal buat kekasih

Sulam bertindih dahulu kala

Sudah kenal maka bercinta

Sudah cinta berkahwin pula

Laksamana berempat di atas pentas

Cukup berlima dengan gurunya

Bagaikan dakwat dengan kertas

Sudah berjumpa dengan jodohnya

Burung jelatik burung jeladan

Kunang-kunang di sarang tempua

Sama cantik sama padan

Bagai pinang dibelah dua


Padang temu padang baiduri

Tempat raja membangun kota

Bijak bertemu dengan jauhari

Bagai cincin dengan permata


Asam kandis mari dihiris

Manis sekali rasa isinya

Didengar manis dipandang manis

Lebih manis hati budinya


Begerak pantas badan tak telus

Serangan bertubi sempat ditepis

Alzalia umpama cindai nan halus

Mengikat hati Luqman Hafiz



Sekapur sirih seulas pinang

Air mawar direnjis-renjis

Memori dirakam untuk dikenang

Sebagai acara meneruskan majlis

Laut membiru pantainya bersih,

Pasir memutih di Pulau Lelayang,

Kalungan budi junjungan kasih,

Acara bergambar keluarga tersayang


Sambil merakam kenangan, mereka iringkan bersama harapan dan titipan kata buat pasangan pengantin .Dengan ini dijemput ayahanda dan bonda pengantin perempuan untuk memulakan sesi

bergambar . Dipersilakan.


Bunga rampai dalam cepu

Taruh mari dalam raga

Ucap selamat pengantin baru

Ibu bapa menumpang suka


Kemboja rendang di tepian hutan

Dipetik mari inang dan dayang

Restu kami jadilah ingatan

Sebagai tanda kasih dan sayang


Ayam sabung jangan dipaut

Jika dipaut kalah laganya

Asam di gunung ikan di laut

Dalam kuali bertemu juga


Semerbak wangi bau setanggi

Bunga rampai bunga melati

Doa restu kami iringi

Agar bahagia sehidup semati




Seterusnya dijemput ninda Hajah Zaharah Salleh untuk bergambar dengan cucunda tercinta.

Dipersilakan.

Tumbuh merimbun pohon melati

Di tepi pagar duri kerawat

Bertolak ansur bersatu hati

Bahagia cucunda setiap saat



Majlis seterusnya menjemput ninda,Datuk Haji Yasin Salleh dan isteri untuk bergambar.

Dipersilakan.


Memukat ikan di Pulau Beta

Bawa bersama jala dan pukat

Jika ada selisih kata

Bawa berbincang bawa berpakat


Seterusnya dijemput ninda Haji Yusoff Mohd Ayub mengambil giliran. Dipersilakan.


Balai seri buatan Pak Tua

Tempat berehat rakan dan taulan
Ninda berdua memanjatkan doa
Moga jodoh sentiasa berkekalan


Kini dijemput pula kedua ninda iaitu Haji Wan Idris dan Hajah Zainab untuk bergambar kenangan.

Dipersilakan.


Berenang-renang si anak itik

Berenang bersama si anak angsa

Berkasih sayang setiap detik

Moga hidup aman sentosa

Kini dijemput pula ayahanda dan bonda pengantin lelaki untuk bergambar buat kenangan dengan

anakanda tersayang.Dipersilakan.


Kuntuman bunga dari Deli

Buat hadiah seluruh rakyat

Jasa ayahanda tiada terbeli

Budi bonda sepanjang hayat


Dilurut-lurut buah selasih

Batang selasih dikerat-kerat

Melaut budi segunung kasih

Semoga bahagia sepanjang hayat



Seterusnya dijemput ayahanda Zuraidi dan keluarga mengambil giliran. Dipersilakan.

Tumbuh subur pohon pegaga

Disiram oleh inang dan dayang

Tutur kata perlu dijaga

Agar hati berbunga sayang



Dijemput pula bonda Zakiah dan keluarga untuk bergambar buat kenangan.Dipersilakan.

Disusun-susun kayu dan papan

Buat alas tepian mandi

Tingkah laku biarlah sopan

Pasti kasih kekal semadi




Dijemput pula bonda Hanim dan keluarga untuk bergambar buat kenangan.

Dipersilakan.

kaktus senja kaktus pagi

segar menghijau di tanah rata

jangan lupa suruhan Illahi

teguhkan iman amalan kita

Dijemput pula ayahanda Wan Jusoh dan keluarga untuk bergambar buat kenangan.

Dipersilakan.

Purnama terang menyinari taman

Meliuk lembut cahaya pelita

Kuatkan semangat tetapkan iman

Impian cinta menjadi nyata
Dijemput pula ayahanda Zuhaimi Nubli dan keluarga untuk bergambar buat kenangan.
Dipersilakan.

Kembang pagi idaman rerama

Mekar di taman jadi suntingan

Kasih disemai cinta diterima

Jagalah ia dimain jangan



Dijemput pula bonda Wan Fauziah dan keluarga untuk bergambar buat kenangan.

Dipersilakan.

Begitu semerbak bau setanggi

Serbak hingga seluruh taman

Budi dan cinta menggunung tinggi

Pasti bahagia ke akhir zaman



Dijemput pula bonda Nor Hidayah dan suami untuk bergambar buat kenangan.

Dipersilakan.

Kalau ribut runduklah padi

Padi cupak datuk temenggung

Kalau hidup selalu berbudi

Duduk tegak berdiri tak canggung



Dijemput pula ayahanda Wan Amran dan keluarga untuk bergambar buat kenangan.

Dipersilakan.


Emas tempawan milik sang rani

Peti tembaga dia ukirkan

Jodoh anakanda bertemu kini

Restu dan doa kami iringkan



Dijemput pula ayahanda Wan Azman dan keluarga untuk bergambar buat kenangan.

Dipersilakan.

Mawar mekar menambah seri

Rintik hujan menghias petang

Tolong menolong suami isteri

Itu tandanya kasih dan sayang


Seterusnya dijemput ayahanda Tengku Mohd Amin dan keluarga untuk bergambar.Dipersilakan.

Irama asli mendayu merdu

Mengalun saydu seluruh taman

Cinta bersemi kasih berpadu

Moga bahagia sepanjang zaman



Dijemput pula ayahanda Wan Kamaruddin dan keluarga untuk bergambar buat kenangan.

Dipersilakan.

Pulang bonda dari perigi

Juadah lazak telah tersaji

suami dihormati isteri disayangi

baru wujud cinta sejati



Seterusnya dijemput semua keluarga ninda Yusoff Ayub mengambil giliran.

Dipersilakan.

Melayang serindit di atas permatang
Merbah berkicau di hujung muara
Cinta dibelai budi ditantang
Moga anakanda beroleh bahagia



Kain sutera kain kasa

Dibawa pulang oleh teruna

Terdapat mesej dalam bicara

Mesej membawa seribu makna

Lemah gemalai disusun langkah

Cantik rupawan pemberian Tuhan

Sanak saudara selesai sudah

Memori tersimpan ke akhir zaman



Burung kedidi burung kenari

Bertenggek bersama Cenderawasih

Setakat ini kita akhiri

Acara bergambar menyimpul kasih



Dahan rapuh telahpun serkah

Dahan kering pandang tak jemu,

Kini merpelai menyambung langkah

Untuk bersalam dengan tetamu



Kuning emas masaknya padi

Mawar merah dalam jambangan

Terima kasih daun keladi

Kunjungan semua jadi kenangan

Dari Besut terus ke Penarik,

Sepanjang jalan tumbuh kuini,

Nan elok bawalah balik,

Nan tak elok ditinggalkan di sini,




Bunga dedap diatas para,

Anak dusun pasang pelita,

Kalau tersilap tutur bicara,

Jemari disusun maaf dipinta,