Showing posts with label ucapan. Show all posts
Showing posts with label ucapan. Show all posts

Saturday, May 31, 2014

ku mohon pergi dahulu



Terima kasih pengacara majlis
Assalamualaikum dan selamat pagi

Yang dihormati Pn.Zaitun Zainal Pengetua
Semua Penolong Kanan,
Semua GKMP
En.Luqman Mat Nasib YDP PIBG
Semua AJK PIBG
Semua rakan guru
Dan anak2 yang dikasihi.


Masa dan detik hampirlah kini
tinggal dua hari saja lagi 
Untuk kaki melangkah pergi
meninggalkan teman  yang baik budi
meninggalkan anak2 yang tinggi pekerti
dan meninggalkan dunia pendidikan yang telah sebati




Alhamdulillah tiba juga detik ini
Gembira,sayu, silih berganti
Gembira, kerana hajat tertunailah kini
Sayu, kerana bakal meninggalkan yang disayangi
Maklumlah tempat jatuh lagi dikenang
Inikan pula tempat berbakti....


Yang  pastinya nanti
Cikgu akan rindu pada ragam anak2,kerenah anak2
dan
gelak tawa,senda gurau,sebak tangis teman2


anak2 ingatlah...
Hati cikgu kasih bersemi          
Pautan rasa ibu dan anak
Anak2 mengharap sejambak budi
Cikgu memberi setulus naluri
Bersama membawa harapan nan suci
Agar berbuah kejayaan abadi


Anak2,
Dengarlah pesanan cikgu yang terakhir ini
Usaha perlu setinggi awan
Semangat menggunung  jadikan  permulaan
Barulah kejayaan dapat ditantang
Kerana yang bulat takkan bergolek datang
Yang pipih tidak datang melayang


Dalam usaha ilmu dicari
Untuk menjadi bijak bestari
Jadikan sahsiah pakaian diri
Kerana kita
Bukan hanya mengejar duniawi
Juga untuk bekal ke alam hakiki
Agar tak kekok ke mana pergi


Jadi jangan
Sebelum berendam takutkan basah,
Itu petanda sudah mengaku kalah.
Sebelum berjemur takutkan lekang,
Itulah tandanya tak sanggup berjuang.


Anak2
Beban sedikit menjadi berat,
Kalau perasaan malas  tidak diubat,
Sabar itu penghilang penat.
Tekun itu pencapai hajat,
Ikhlas pula membawa berkat...
 
Doa cikgu
Semoga anak2 diberi kelapangan dan ketenangan,
Dijauhi segala kekaburan, dihindari segala kemungkaran,
Agar perjuangan akan berakhir dengan kemenangan,kejayaan



untuk bekas murid2 cikgu,
terima kasih wahai anakanda
memang cikgu tidak menduga
anakanda sudi meluang masa
untuk bersama buat seketika
rasa terharu tidak terkata
terima kasih tidak terhingga


Akhirnya
Ampun maaf andai kata sepanjang kita bersama
Teguran cikgu menguris rasa
Pesanan cikgu tersalah bicara
Tindakan cikgu  tersalah tingkah
Ada kesalahan di mana2


Tapi percayalah
Apa yang cikgu lakukan
Kerana sayang cikgu  pada anak2
Kerana ingin mendidik
Ingin membentuk
Untuk melihat anak2 berjaya
Dunia akhirat

selamat tinggal anak2,jaga diri



Bersiul riang burung kenari
Hinggap mari di tengah laman
Kenangan bersama memahat memori
Tautan kasih sepanjang zaman


Dengan itu cikgu sudahi ucapan cikgu  dengan sebuah lagu yang akan dinyanyikan oleh Pn.Haniza Arif dibantu oleh anakanda Talha dan Denial untuk menzahirkan kata hati cikgu.

Dipersilakan

 

Selamat tinggal bungaku
Aku bermohon pergi dahulu
Terima kasih seruanku
Jasamu untuk diriku

Ke timur atau ke utara
Tak tentu mana nak tujukan
Setitik airmata
Dititiskan dibuang jangan

Sekiranya aku  masih
Berada nun jauh di balik awan
Salam yang bahagia
Khabar yang gembira ku kirimkan

Inikah akhir bertemu
Bila nian kan berjumpa lagi
Ingatlah pesananku
Jaga baik dirimu sendiri 







Wednesday, May 28, 2014

bicara hamba


Terima kasih dinda pengacara majlis


Assalamualaikum ,
Selamat Petang,
dan Selamat Hari Guru.



 Yang dihormati Pn.Zaitun Zainal Pengetua
semua Penolong Kanan
semua GKMP,
dan  rakan-rakan guru
Alhamdulillah syukur ke hadrat Illahi
kerana dengan limpah izinnya detik itu hampir kini.
Sempat juga saya merasai detik ini tanpa sempat menghitung hari…
.terasa amat cepat masa berlari



Sebenarnya
Saya cintakan dunia pendidikan
Saya  suka kerjaya ini
Saya sayangkan anak-anak
Saya  kasihkan teman-teman
Kerana  sejak saya lahir
saya  hidup dalam lingkungan kasih sayang warga pendidik


  
Tapi  saya perlu reda dan sedar
yang usia sudah di hujung hari.
Setulus kesyukuran  saya panjatkan pada Illahi
kerana diberi peluang  bernafas lagi
untuk bersara agar  sisa usia yang berbaki  ini  
dapat saya  gunakan untuk diri sendiri.

Dan
pada kesempatan ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih
kepada puan pengetua yang sama-sama susah dan senang 
sepanjang kita bertugas walaupun sedetik cuma.
Terima kasih puan
kerana banyak membantu
melegakan yang buntu
menunjuk arah dan pandu
melicinkan tugas satu demi satu
menjadikan kerja bertambah mutu
 

Buat En. Mazlan dan Pn.Julia,
Terima kasih
walaupun tak lama bermesra
tapi bagai sudah terpahat di jiwa
kerana dari jelingan mata
terpandang manis bahasa
terdengar lunak bicara
di hati  keakraban terasa

Juga
Terima kasih kepada buat En.Rani,teman2 GKMP
dan teman-teman merangkap adik-adik  tercinta
yang rasanya sebati bagai keluarga,
bagai saudara,


Yang menjadi penyeri setiap masa
Yang menjadi penghibur ketika lara
Terima kasih kerana memberi kerjasama,
bantuan dan sumbangan yang tidak terkata


Terima kasih kerana sering
meminjam bahu,meminjam telinga

Terima kasih segunung intan
Itu tandanya teman

Terima kasih seluas lautan
Kerja susah menjadi ringan

Terima kasih setulus hati
Moga usaha Allah berkati

Terima kasih juga buat teman2 yang turut serta
Pn.Hazana dan dinda Azamima

Terharunya rasa
Bila terlihat kelibat rupa
teman-teman jauh di mata
tapi pasti di hati mekar sentiasa
yang sudi bersama-sama kita
Walaupun terpaksa tinggalkan urusan buat seketika
moga itu tandanya saya tak dilupa
Terima kasih tidak terhingga

Teman2,
Tentunya sepanjang kita berkenalan
Ada usikan ada teguran
Tapi ketahuilah teman2
Teguran saya lambang ingatan
Penuh dengan limpahan sayang
Kerana manis jangan mudah ditelan
Pahit pula jangan mudah dibuang
Kerana kekadang perlu berpesan
Ingat mengingat sesama teman
Demi membentuk warga cemerlang


Teman2
Walaupun sering bertukar ganti
Berubah angin berubah rasa
Tapi pada saya, janganlah dilupa
Dan pada masa2 mendatang
Tika tekun tugas ditantang
Ingatlah saya yang pernah bersama teman2
Yang mungkin tika itu sedang menanggung rindu

teman2,
harapan  saya menggunug tinggi
mengiring langkah berlalu pergi
yang  entah bila ketemu lagi
moga ikatan yang terjalin ini
takkan terputus hanya di sini
jika sudi kutiplah sisa-sisa memori
Simpan kemas di sudut hati
Moga kukuh ukwah nurani

teman2
Saya ingin memohon jutaan maaf
Andai  saya pernah
Tersasul bicara tersalah tingkah
Moga tiada terguris hati , terluka jiwa


Teman2
doa restu saya iringi
Agar kesihatan kalian tetap terjaga
Agar hidup kalian bahagia sentiasa
Agar segala budi dan jasa
Dirahmati Yang Maha Esa
Sepanjang usia


  
Kata orang,
yang bertunas ada luruhnya,
yang muda ada tuanya,
yang hulu ada hilirnya,
yang pasang ada surutnya, dan
yang datang pasti akan pergi jua
Jadi saya mohon berundur dulu.


Sekian terima kasih.