Thursday, August 5, 2010

Dikir Hari Guru

petua seorang guru

hari ini hari guru

mari kita rai bersama kalau guru ngajar duduk
murid belajar sambil mengantuk

kalau guru sambil berlakon
murid belajar denganlah tekun

hari ini hari guru
mari kita rai bersama


kalau guru tanpa alat
murid belajar denganlah ralat

kalau guru banyak bercakap
ada murid bertambah gagap

hari ini hari guru
mari kita rai bersama

kalau guru pemudah cara
ramai murid pandai bicara
kalau guru tanpa menilai
takkan tahu bodoh dan pandai
hari ini hari guru
mari kita rai bersama
kalau guru berbudi bahasa
dikenang murid sepanjang masa
kalau guru tunggu diarah
semua kerja kenalah kerah
hari ini hari guru
mari kita rai bersama

kalau guru kurang mengajar
dapat murid kuranglah ajar
kalau guru kurang merancang
dalam kelas banyak temberang
kalau guru suka berdamping
semua murid dapat dibimbing

sekian sudah persembahan kami
jangan ingat kami tak reti
lain kali jemput lagi
AF 9 kami menanti

Wednesday, August 4, 2010

sukan tahunan 2010

Ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih

kepada semua warga SMART kerana menjayakan

Sukan Tahunan Sekolah yang ke-24
Terima kasih qauster master dan unit sukan
yang bertugas bukan kepalang
tidak kira siang dan malam
di sokong oleh guru,pelajar dan staf sokongan
tenaga dan idea telah disumbang
hingga lancar majlis berjalan
jaga dan pekerja swasta tidak dilupa
mereka bertugas tiada alpa
terima kasih ibu dan bapa
memberi sokongan setiap masa
tidak dilupa anak-anak tersayang
peserta berjuang mati-matian
untuk merebut piala kemenangan
tapi...bertanding ada kalah,ada menang
tahniah kepada yang menang
yang kalah,cuba lagi tahun depan
berbekal semangat,usaha teruskan
terima kasih kerana nama baik sekolah dijaga
berpakaian sukan sesuai di mata
disiplin di padang dijaga sentiasa
hati kami berbunga bangga
adat orang inginkan kejayaan
pebetulkan apa yang kurang
sepakat kita berjuang
persediaan tahun mendatang
hingga mencatat kegemilangan
tahniah dan terima kasih semua
sepakat membawa berkat

Tuesday, August 3, 2010

sumbangsih


6.6.10 tercatat sejarah
singahsana tersergam begitu megah
hantaran dihias disusun indah
disulam kasih cinta bermadah


sireh pinang pembuka bicara
cincin sebentuk buat si dara
sebagai bukti kasih tertera
agar cinta mekar sentiasa

seulas pinang gambir pun ada
seutas gelang buat anakanda
sebagai tanda restu dan reda
dari ayahanda serta bonda
choklat diberi pemanis kata
agar tercantum dua jiwa
dengan manis tutur bicara
pasti ditaburi bunga bahagia


halwa rasa enak dinikmati

sebagai bukti kemanisan hati

moga jodoh hingga ke mati

berbekal kesetiaan sejati



Putih biru tanda mata

lambang kasih seia sekata

tabah hadapi suka duka

barulah hidup aman sentosa

Telekung dihulur ada tersirat

pada Allah panjangkan hajat

moga dimakbur semua niat

hidup akan mendapat berkat


persalinan diberi jadi ingatan

sebagai simbol kekuatan iman

janji diberi dilupa jangan

hidup harmoni zaman berzaman

wangian diberi ada makna

berbekal kejujuran dua jiwa

moga mewangi cinta anakanda

pasti sayang berganda-ganda

pemberian diberi setulus nurani

buat pujaan belahan hati

agar cinta kekal abadi

bila hati suci murni

kasut dihulur pengikat kasih

diiring dengan hati nan bersih

agar diri tidak tersisih

pasti damai membelai kasih.

Sunday, July 25, 2010

Puisi lama....


Semalam mama mesyuarat panitia.Kami berbincang.Memberi pendapat.
Berkongsi idea.Semuanya untuk anak didik tersayang.
Beberapa keputusan dan rancangan dibuat.
Mama berjanji untuk memberi secalit sumbangan.
Tetapi di mana disimpan?


Hari ini mama menyelongkar fail-fail lama yang telah mama simpan.
Semasa mencari bahan itu mama terjumpa sehelai kertas bertulis dengan dakwat merah.Sebuah puisi.Tanpa tajuk.Tanpa nama penulis.
Mama yakin, mama tahu siapa penulis puisi ini.
Mama juga yakin puisi itu telah lama ditulis.
Mungkin dua,tiga tahun lepas berdasarkan bentuk tulisan yang kini telah bertukar bentuk.

Puisi ini berjaya menyentuh hati mama .Puisi ini juga berjaya menitiskan air mata mama.Tertanya di naluri mama ,adakah puisi ini hasil ciptaannya atau dia menyalin dari sumber lain.Mama kurang pasti.

Tetapi apa pun persoalan puisi ini dapat menjentik jiwa mama.
Lalu mama cuba salin kembali puisi ini sebagai kenangan sebelum hasil luahan hati ini hilang bersama bahan-bahan mama yang telah lusuh.



malam tadi ,aku bergelak ketawa
dan hari ini aku menangis hiba.

malam tadi ,aku mengucup dahinya
selamat malam mama
dan hari ini aku mengucup dahinya semula
selamat tinggal mama

malam tadi aku bersama-samanya
mengaji berdua
meneliti ayat-ayat suci
tapi hari ini aku seorang diri
malam tadi ,mama mengajar aku
tentang duniawi yang patut aku tahu
hari ini aku pula mengajar mama
tentang ayat itu sebelum menutup mata

malam tadi ,kami solat bersama
tapi hari ini aku sendiri

malam tadi mama membebel lagi
tentang silap aku yang di mana
aku mengeluh
hari ini aku sunyi
rindu suara itu
aku menangis

dan semalam aku selimutkan mama
dari pinggang ke leher
sejuk katanya
hari ini aku selimutkan mama lagi
dari hujung rambut ke hujung kaki
mama tak kata apa-apa.

P/S: Mama doakan agar anak-anak mama menjadi anak yang soleh.amin...

Saturday, July 24, 2010

nazam putera kesayangan

Ibu mengandung 9 bulan
lebih dan kurang tak ditentukan
lahirlah anakanda berapa kesakitan
berpantang pula minum dan makan Kasih bonda tidak terusik
jasa dan budi tidak diungkit
lama bondamu menahan sakit
sembilan bulan tidak berbangkit

cukup masa sampai ketika
lahirlah anakanda ke dalam dunia
barulah suka ayahanda bonda
kepada anakanda sangat kasihnya

setelah anakanda sudahlah ada

siang dan malam bonda menjaga

tidurpun hanya barang seketika

makan dan minum tidak terasa

kasih bonda begitu agung

diangkat dituam lalu dibedung

sudahlah jaga lalu didukung

kasih dan sayang tidak tertanggung

tidaklah tentu siang dan malam

bangun memangku di dalam kelam

terkejut jaga di tengah malam

tidurpun tidak lekat di tilam


ayahanda bonda membelai menatang

pada dirimu hanya dipandang

tidak dihirau sakitnya pinggang

didukung digalas tidak berenggang

harap mereka bukan sedikit
tinggi harap darinya bukit
agar dosa tidak tercalit
susah senang mereka mendidik


setelah usia meningkat remaja
anakanda bertemu ayahanda bonda
pada kami meluah rasa
hajat hati jelas membara

tiba detik tibalah masa
sudah sedia menjadi nahkoda
menunai janji mahu dikota
ayahanda bonda menumpang suka

mencari detik mencari ketika

merentas lautan ayahanda bonda

mengatur langkah hajat dibawa

menyusun kata merisik bicara

ayahanda bonda anugerah tuhan
barang katanya jangan dilawan
baru sempurna anak budiman
kasih mereka tiada sempadan

wahai luqman anak kesayangan
kasih bonda tiada bandingan
kasih ayahanda rela berkorban
badan dan nyawa jadi taruhan